Jangan harapkan SMART -- Terowong dwifungsi itu tidak dapat atasi sepenuhnya banjir di KL

PEKERJA merentang kanvas di laluan keluar masuk tempat
letak kereta di bawah Dataran Merdeka, Kuala Lumpur,
yang masih digenangi air banjir semalam.


KUALA LUMPUR 11 Jun – Kejadian banjir kilat seperti yang melanda ibu negara malam tadi tidak dapat diatasi sepenuhnya walaupun projek Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) di sini yang dibina dengan kos RM1.9 bilion mula berfungsi Julai ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Paduka Ir. Keizrul Abdullah berkata, projek SMART hanya mengalirkan air banjir dari Sungai Klang ke Sungai Kerayong untuk disimpan di kolam khas, tetapi ia tidak dapat mengatasi masalah lebihan air ketika hujan lebat di Sungai Gombak.

Katanya, untuk mengatasi secara komprehensif masalah banjir di bandar raya Kuala Lumpur, projek kawalan banjir yang menyeluruh sebagaimana yang dirancang di bawah Program Tebatan Banjir Lembah Sungai Klang perlu dilaksanakan bersama.

‘‘Projek-projek tersebut telah bermula sejak beberapa tahun lalu dan ia dijangka siap satu persatu antara hujung bulan ini sehingga pertengahan 2009.

‘‘Bagaimanapun, berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, JPS akan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Dalam reaksinya terhadap kejadian banjir kilat di Kuala Lumpur malam tadi yang menimbulkan kemarahan warga kota, Keizrul membetulkan tanggapan sesetengah pihak yang berpendapat projek terowong SMART berharga RM1.9 bilion sepatutnya dapat memastikan banjir kilat tidak berlaku lagi di ibu negara.

Perdana Menteri pagi ini membuat lawatan mengejut ke pusat bandar Kuala Lumpur selepas banjir kilat paling buruk dalam tempoh setengah dekad melanda kawasan sekitar Dataran Merdeka, Masjid India, Kampung Baru, Jalan Ipoh dan Sentul.

Abdullah yang memperoleh maklumat mengenai kejadian banjir itu daripada laporan akhbar mengambil keputusan turun padang dan ketika mendengar taklimat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perdana Menteri ternyata kesal dengan apa yang berlaku.

Beliau mengarahkan kontraktor menyiapkan projek tebatan banjir di ibu kota lebih awal daripada jadual.

Menurut Keizrul, JPS sedang membina beberapa kolam takungan banjir iaitu Kolam Batu, Kolam Jinjang, Kolam Sri Johor dan beberapa buah kolam di kawasan tadahan Sungai Damansara.

‘‘Kos yang diperuntukkan untuk Kolam Batu dan Jinjang ialah RM640 juta, Sri Johor sebanyak RM95.15 juta dan Sungai Damansara RM350 juta,” jelasnya.

Menurut beliau, kolam-kolam takungan banjir itu dibina bertujuan untuk menyimpan air banjir buat sementara di beberapa kolam khas sebelum ia dialirkan semula ke sungai-sungai tertentu selepas hujan lebat berhenti.

Ditanya sama ada tapak terowong SMART sekarang yang terletak di antara Jalan Tun Razak dan Jalan Sungai Besi merupakan tapak yang sesuai untuk projek itu, beliau berkata, terowong dwifungsi untuk jalan raya bertol dan kawalan banjir itu dibina di kawasan yang menjadi pertemuan antara Sungai Ampang dan Sungai Klang bagi mengelak air berlebihan mengalir masuk ke pusat bandar.

Terowong air banjir projek itu sepanjang 9.7 kilometer dengan garis pusat 13.2 meter menghubungkan tasik di Kampung Berembang dekat Sungai Klang di Ampang dengan tasik di Taman Desa dekat Sungai Kerayong di Salak Selatan.

Selain digunakan untuk mengawal banjir, terowong itu juga mempunyai laluan untuk kereta sepanjang empat kilometer.

Projek yang mengambil masa empat tahun untuk siap itu dibina pada tahun 2003 oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan JPS dengan usaha sama syarikat Gamuda Berhad dan Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC).

‘‘Sekiranya SMART mula beroperasi hujung bulan ini, air dari Sungai Ampang dan Sungai Klang akan mengalir ke dalam terowong itu dan air yang berlebihan akan disimpan di dalam kolam khas,” ujarnya.

Keizrul memberitahu, komponen banjir bagi projek SMART dijadualkan siap menjelang hujung bulan ini.

‘‘Kami sedang memasang beberapa pintu kawalan dalam terowong berkenaan dan saya telah mengarahkan supaya terowong tersebut disiapkan seminggu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan iaitu penghujung bulan ini.

‘‘Namun, kami perlu memastikan semua aspek keselamatan siap sebelum binaan itu boleh beroperasi untuk tujuan mengawal banjir,” ujarnya.

Keizrul meminta orang ramai menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah ke dalam sistem saliran bagi mengelakkan terowong SMART tersumbat dan menjadi punca berlakunya banjir kilat.

Comments

Popular posts from this blog

Amalan Mengandung

:: Lauk Senang ::

:: Siaran Tertunda ::