Pejabat@Rumah ~ SOHO la tu ~


KUALA LUMPUR: Wanita yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga keluarga masih boleh menjadi penyumbang kepada ekonomi negara berikutan pelancaran program Pejabat@Rumah di sini, semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata program itu bukan saja boleh dimanfaatkan wanita yang ingin bekerja, tetapi juga membuka peluang lebih luas kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesara yang ingin bekerja dari rumah.

Katanya, wanita diberi tumpuan kerana mereka menjadi golongan paling tinggi yang berhenti kerja kerana terikat dengan komitmen keluarga, sedangkan mereka masih produktif untuk menyumbang kepada ekonomi keluarga dan negara.

“Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dua tahun lalu menunjukkan 55.7 peratus responden wanita yang ditemui terpaksa berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada keluarga, terutama menjaga anak.

“Penarikan diri wanita daripada pasaran pekerjaan pasti akan merugikan negara, terutama dari segi kepakaran dan kemahiran kerana mereka juga berpendidikan tinggi. Justeru, pendekatan Pejabat@Rumah adalah pendekatan terbaik untuk mengatasi masalah ini.

“Selain itu, kita juga sering mendengar masalah OKU sukar mendapat pekerjaan kerana ketidakupayaan fizikal menghalang mereka keluar bekerja, selain kemudahan awam serta premis tempat kerja yang tidak mesra OKU,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku panduan Pejabat@Rumah bersama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azizah Mohd Dun. Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Faizah Mohd Tahir dan Datuk Bandar Johor Bharu, Datuk Mohd Naim Nasir.

Buku panduan itu diterbitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan badan bukan kerajaan eHomemakers yang menerangkan konsep, ciri-ciri perniagaan dan jenis pekerjaan yang sesuai, kaedah menubuh dan memajukan perniagaan Pejabat@Rumah serta garis panduan kelulusan permit.

Shahrizat berkata, Pejabat@Rumah juga menyumbang ke arah mencapai kehidupan seimbang berkeluarga dan bekerja.

Melalui Pejabat@Rumah, aktiviti seperti tuisyen dan latihan kemahiran, khidmat rawatan atau salun kecantikan, urut dan refleksologi, penyediaan produk makanan dan minuman secara kecil-kecilan antara perniagaan yang memerlukan pengusaha memohon permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Wanita yang bekerja dalam sektor perkhidmatan seperti setiausaha syarikat, pengurusan dan penjualan hartanah, penulisan, rekaan grafik dan lukisan pelan, perhubungan awam dan kewangan boleh memilih bekerja dari rumah dengan kemudahan komunikasi dan teknologi.

Shahrizat turut mengingatkan wanita yang berminat menyertai program Pejabat@Rumah mematuhi garis panduan disediakan bagi memastikan operasinya tidak mengganggu ketenteraman awam dan kawasan kejiranan, selain perlu mendaftarkan perniagaan dengan Pendaftar Perniagaan.

“Jika buat Pejabat@Rumah, pastikan ikut syarat ditetapkan supaya tidak timbul masalah. Pihak berkuasa tempatan akan sentiasa memantau bagi memastikan operasi sentiasa mematuhi garis panduan seperti masa operasi, aspek keselamatan, kebersihan persekitaran dan had pekerja,” katanya sambil menambah PBT berhak mengambil tindakan ke atas perniagaan Pejabat@Rumah yang melanggar syarat.

Buleh ler kita keje kat umah jer lepas nih ek kak long...

Comments

Popular posts from this blog

Amalan Mengandung

:: Lauk Senang ::

:: Siaran Tertunda ::